Friday, 5 January 2018

TOP COMMENTATOR BLOG KAK SHIKIN !

Assalamualaikum..

Apa khabar?
Harini terasa nak menulis sebab esok dah cuti.
So kena la tinggalkan entry lebih sikit harinih.
Rasa macam dah setahun tak buat entry biasa.
Sebab asyik fokus kepada draft novel sahaja.
Terasa rindu pulak nak menulis sesuatu.

Actually tadi tengah blogwalking,
sesambil nak cari idea nak tulis apa untuk entry.
Pastu terajin la pulak nak check comment.
Tetiba.... dapat mesej dari sis Shikin nih..
Dia kata cikyan tersenarai dalam top commentator dia.
Dia ada sertakan link. 
Cikyan pun apa lagi,
berdesup la klik link...

Dan taadaaa..



Yeaaayy i gonna get a saguhati from sis nih !
Seronoklaa. Sape tak seronok dapat hadiah kan.
 okey ni link blog dia.


Setiap hujung bulan dia akan buat pengumuman untuk top commentator nih.
Actually cikyan taktau pon. hahaha.
Cikyan memang suka jalan jalan baca cerita kat blog orang.
Mana nak tau dia nak bagi kan.

Korang rajin rajin la tau komen,
manatau rezeki korang pulak lepas ni kan.
Lagipon blog dia tak sunyi dengan entry.
So boleh la baca selalu kan.
Meh pakat follow blog dia meh !

Apapun, terima kasih kak Shikin.
Semoga jalinan persahabatan kita berpanjangan sampai bebila.
Rajin rajin la datang baca entry cikyan juga ya :)

Thursday, 4 January 2018

IZINKAN AKU (BAB 2)



Setengah jam kemudian, aku tiba dihadapan asrama perempuan. Aku berjalan cepat menuju ke bilikku yang berada di tingkat satu. Ditangga, aku terserempak dengan Laila, teman sekuliahku. Dia berpakaian kemeja lengkap dengan jeans. Shawl dililit kemas dikepalanya. Pelik. setahuku, kelas baru sahaja habis. Dan bagaimana pula dia boleh bersiap secepat ini?

“Ahhh, dia ponteng kuliah barangkali. Tadi pun, semasa dikelas, bukan aku perasan siapa yang tak hadir. Aku sendiri pun datang lambat. Nasiblah pensyarah belum masuk lagi tadi. Kalau tidak, jadi kes naya pula. Tak pasal pasal aku diberikan surat amaran. Biarlah, bukan dia mengacau aku pun. “ kataku membuat kesimpulan. Sendiri tanya, sendiri juga yang beri jawapan. Begitulah aku selalunya. Malas sebenarnya mahu mengambil tahu hal orang lain. Aku meneruskan langkahku.

Setibanya dihadapan bilik, aku berpapasan dengan Widad, jiran sebelah bilikku. Malas hendak memulakan bicara, aku hanya menghadiahkan sebuah senyuman manis kepadanya. Widad, siapalah tidak kenal, sejenis makcik bawang juga. Sejenis ‘Kepohci’ orangnya. Ada saja cerita yang ingin digosipkan. Sebab tu malas aku nak layan. Senyuman manisku sudah cukup untuk orang seperti itu. Buka sahaja pintu bilik, beg sandang terus aku campak ke atas kerusi dan berjalan menuju ke katil lalu baring terlentang. Fuhh lega rasanya dapat baring, satu kenikmatan yang tiada taranya.

Ketika sudah hampir terlelap, baru aku perasan yang aku masih belum membuka tudung. Ya, tudung. Patutlah dari tadi rasa panas semacam. Dengan mata yang separuh terpejam, aku berdiri dan berusaha membuka tudung. Setelah berjaya membuka tudung tersebut, aku berjalan terhuyung hayang menuju ke katil semula. 

“Aduhhh.. sakitnya..!” Aku terjerit. Tanpa sedar aku telah tersepak kotak kayu berwarna ungu yang aku susun ditepi katil. Mataku yang tadinya mamai layu, kini menjadi segar disebabkan menanggung kesakitan yang amat sangat.

“Kotak apa ni.. Menyibuk betul duduk kat sini !” Omelku sendirian. Lalu aku capai sesuatu didalam kotak tersebut.Sebuah buku.

“Buku apa agaknya ni…” fikirku panjang. Lalu buku itu aku bawa ke katil dan baring semula. Aku membelek buku yang kupegang dengan tangan kananku. Dalam pada sibuk membelek, sehelai kertas terjatuh dari buku tersebut. Aku ambil dan aku buka lipatannya. Didalam kertas itu, terdapat senarai nama pelajar senior dan tandatangan mereka.

“ Senior… majlis orientasi.. Syamil…Hmmm..” desis hatiku. Menyebut namanya mengundang senyum di bibirku. Aku cuba mengingati kisah disebalik kertas tersebut. Minggu orientasi, minggu yang meninggalkan kenangan, kenangan indah mungkin buat diriku. Fikiranku melayang mengingati hari itu.

……………………………………………………………………………

Minggu orientasi, minggu yang paling ditakuti oleh semua pelajar baru sepertiku. Minggu yang dimomokkan dengan kisah buli, kisah airmata dan segala macam kisah yang menjadi bualan antara aku dan rakanku sebelum aku berdaftar ke kolej ini. Tidak kurang jugak dengan kisah abang abang senior yang tampan, kakak senior yang peramah, namun banyaknya yang garang. Hari pertama orientasi, semua pelajar baru diberikan ceramah pengenalan mengenai kolej Polytech Mara. Sejarah penubuhan kolej, visi dan misi sehinggalah ke nyanyian lagu kolej. Kami diminta mengulang ulang nyanyian sehinggalah mereka berpuas hati. Jika tidak selagi itulah kami dipekik disuruh mengulang nyanyian.

Hari kedua hingga kelima, minggu orientasi kami tertumpu kepada aktiviti berkumpulan. Aktiviti berkumpulan ini diketuai oleh seorang senior lelaki dan pembantunya, seorang senior perempuan. Seniorku bernama Abang Hakimi dan kakak Suhada. Mujur sahaja mereka peramah. Mereka merupakan pelajar tahun akhir diploma Pengurusan. Didalam kumpulan ini, kami semua diberikan pelbagai tugasan. Ada pertandingan lakonan, nyanyian dan terakhir sekali, kami ditugaskan untuk melakukan perbentangan secara berkumpulan. Ketika giliran aku membuat perbentangan, aku membuka peluang untuk sesiapa sahaja untuk mengajukan sebarang pertanyaan. Ada seorang senior mengangkat tangan dan memperkenalkan diri sebagai Syamil dan seterusnya bersedia untuk memulakan pertanyaan.

“Saya nak tanya kalau……….” belum habis Syamil mengajukan soalan, Abang hakimi, ketua kumpulanku memotong.

“Fuhh, Syamil. Tak pernah pernah kot kau tanya soalan, kenapa hari ini pelik semacam je. Rajin pulak kau” Katanya menempelak Syamil. Syamil kelihatan terkejut dengan kata kata itu.

“ Aah kan, dalam kelas pun kau tak pernah angkat tangan tanya soalan pada pensyarah. Kau biar betul Syamil…..” tambah senior yang lain diikuti suara ketawa pelajar lain.Syamil yang tadinya mahu mengajukan soalan, membatalkan niatnya.

“ Apa salahnya kalau aku tanya. Untuk pengetahuan kan.” Bidas Syamil geram.

“ Memang tak salah bertanya, tapi kau punya otak kot yang salah. Kau suka budak perempuan tu ke…. Haaaaaaa…. Kantoi….” Balas senior lain.

Suasana dewan menjadi lebih gamat apabila perkataan ‘suka’ dibangkitkan. Mana tak nya, seperti menyimbah minyak gas ke api. Makin besarlah maraknya. Pasti ramai yang menanggung rasa marah dan kecewa. Bukan aku tak tahu, ramai pelajar yang menaruh hati kepadanya. Dan aku, apa kena mengena dengan cerita ini. Aku tahu, ‘budak perempuan’ yang senior tadi maksudkan adalah merujuk kepada aku.Tetapi kenapa aku? Tak patut, memang tak patut!

“ Diamlah!”jerit Syamil dengan suara yang agak kuat, cukup didengari oleh semua pelajar yang berada disitu. Dewan yang tadinya riuh rendah, bertukar menjadi senyap sunyi. Hah, rasakan !

“Takkanlah,  dia perempuan jadian kot” terdengar suara halus yang sumbang datang dari sekumpulan pelajar perempuan. Perlahan nadanya, namun cukup ditangkap oleh telingaku.

Sampainya hati, dasar mulut tak ada insurans. Nasib aku masih berada di dalam sesi perbentangan. Jika tidak, pasti mulutnya sudah kuganyang habis habisan. Tak guna! Aku tahulah aku ini, perempuan berpewatakan lelaki. Kasar, tak bertudung pula. Berbeza dengan pelajar perempuan lain, yang rata ratanya, bertudung manis. Tetapi janganlah sampai menggelarkan aku begitu. Hmmm.

Dan syamil, seorang lelaki tampan. Pelajar tahun akhir diploma pengurusan. Sekelas dengan abang Hakimi dan kakak Suhada, senior yang mewakili kumpulanku. Tak banyak info yang aku tahu tentang Syamil. Info yang sedikit ini pun aku dapat dari perbualan rakan rakanku. Aku hanya memasang telinga. Syamil memang terkenal dan menjadi sebutan di kolej. Dan sebagai buktinya, pelajar perempuan yang sekumpulan denganku juga turut meminatinya.

“ Mungkin sebab dia ada rupa kan. Hot stuff la katakan!” Omelku sendirian.

Tak lama kemudian sesi perbentangan tamat. Aku menarik nafas lega kerana tidak perlu lagi mendengar usikan dari mereka. Kami semua bersurai.

Dua hari terakhir, semua pelajar baru ditugaskan untuk meminta tandatangan semua senior yang terlibat dengan aktiviti orientasi. Tak banyak, lebih kurang dua puluh lima orang sahaja. Jumlahnya sedikit, namun tugasan itu menjadi susah. Kerana apa? Setiap kali kami meminta tandatangan senior, mereka akan memberikan tugasan tertentu. Tugasan pula berbentuk penderaan mental dan fizikal, layaknya. Ada sesetengah senior yang hanya menurunkan tanda tangan tanpa memberikan tugasan. Nasib tak baik, kenalah membuat persembahan tak berbayar di depan pelajar yang lain.
Dan aku, baru lepas dibuli oleh  Senior Farid. Dia meminta aku mengajuk bunyi haiwan. Walaupun malu, terpaksa juga aku turuti. Manakala Suhaimi, pelajar baru yang kebetulan mahu meminta tandatangannya, perlu membuat gaya bagi setiap haiwan yang dia sebutkan. Lagilah  kesian. Terkial kial Suhaimi menggayakan watak haiwan tersebut. Sekali dengan mimik muka. Kesian, tapi lucu. Hahahaha.

Suhana pula diminta oleh senior Suhaila untuk menyanyikan lagu Negaraku sambil berdiri tegak. Sudahlah menyanyi, kena kuat pula tu suaranya.  Safwan, pelajar baru yang paling nakal pula, diminta oleh Senior Syakari untuk membuat tarian robot. Alahai, malunya. Mujur time aku tadi,  Senior Syakari hanya menurunkan tandatangan tanpa ada tugasan yang perlu aku lakukan. Tak berminat katanya. Entah apa maksudnya, aku pun tak tahu. Ahhh tak kisahlah, as long as aku tak disuruh menari macam tu. Taubat , malu sungguh !

S.Zahran, tinggal satu nama sahaja yang belum aku minta tandatangan. Selepas ini, selesailah tugasku. Aku berteriak kecil. Bersyukur benar.

“Rasanya semua senior telah aku minta tandatangan. Siapa lagi ya?” fikirku. Aku membuat perbandingan. Aku menyebut namanya berulang ulang kali sambil cuba mengingat.

“S stand for apa ya? Nama dah macam nama pelakon dan penyanyi dulu dulu aja. AR Badul, A Rahman Hassan, S Jibeng. Hahahahaha….” Aku ketawa sendirian sehingga menampakkan gigiku yang tersusun rapi. Terasa lawak pulak dengan perbandingan yang aku buat. Kesian kau senior, tak pasal pasal nama kau dikaitkan orang dulu dulu pula. Tulah pasal siapa suruh letak nama susah susah. Padan la muka.

“ Syamil!” tiba tiba aku terdengar seorang senior menyebut nama tersebut. Aku toleh kearah suara itu dan aku lihat senior tadi berjalan menuju kearah Syamil.

“Haaaa… Ya….ya lahh.. S for Syamil.. Syamil Zahran..! Sedap juga namanya ya. Orangnya dah la tampan.” kataku perlahan. Puas aku meneka neka nama, akhirnya dapat juga.Bibirku mengukir senyuman. Selesai meminta tandatangan Syamil, ini bermakna urusan aku selesai. Jadi aku perlu cepat berjumpa dengannya.

“Errrr…… Abang Syamil.. Eh.. Hmmm senior… saya nak minta tandatangan boleh..?” pintaku setelah Syamil berada dihadapanku. Punyalah nak cepat habis, sampai aku tersilap memanggilnya dengan panggilan ‘abang’.

“Eh hmmm…boleh boleh….tapi ada syaratnya..” ujar Syamil.

“Apa syaratnya?” Tanyaku sekadar berbasi basa. Malu ingin melihat wajahnya setelah teringat kejadian hari itu.

“Hmm, saya nak….” Syamil menghentikan ayatnya. Aku menungu dengan penuh sabar. Geram pula rasa hati. Mengapa lambat pula yang satu ini. Nak beri syarat pun susah ke. Aku dah tak sabar mahu habiskan tugasku yang satu ini.

“ Hmmmm….tak mengapalah” Syamil menghabiskan ayatnya.

“ Syamil suka kat kaulah Zulaikha!” bisik satu suara ditelingaku. Rupanya suara itu datangnya dari abang Hakimi, ketua kumpulanku. Abang hakimi rupanya satu kelas dengan Syamil. Satu jurusan dengannya.


“Hahhhhhhh!” Hampir terlompat aku dibuatnya.

 Terkejut. Tak pasti terkejut dengan berita itu atau terkejut dengan suara yang berbisik di telingaku. Terlalu dekat. Nasib aku tak ada sakit jantung, kalau tak dah lama aku mati. Betul atau tidak, aku tak peduli. Yang pasti aku rasa seperti mahu lari dari tempat itu. Aku juga malu dengan Syamil. Dia seperti terpinga pinga dengan apa yang sedang berlaku. Aku berjalan cepat menuju ke kumpulanku setelah berjaya mendapatkan tandatangan daripada Syamil secara paksaan tanpa mengikut syaratnya. Kononnya syarat, syarat apa pun aku tak tahu. Terfikir juga aku, masakan baru seminggu, Syamil sudah sukakan aku. Aku sudahlah begini. Hmmm, tapi aku pun apa kurangnya. Dalam diam aku sudah jatuh hati padanya. Sejak peristiwa Syamil diusik rakannya semasa aku membuat perbentangan berkumpulan. Dia ada daya penarik yang tersendiri. Bukan setakat tampan. Yang itu aku pasti. Tetapi, sekarang ni, aku rasa pelik. Masakan aku boleh sukakan dia. Aku kan perempuan jadian. Aku susah sukakan lelaki, lagi lagi lelaki yang menjadi perhatian seperti Syamil.  Aku keliru dengan perasaanku sendiri.




>>> Nantikan sambungan kisah ( Bab 3) di entry akan datang. Semua pembaca digalakkan untuk meninggalkan komen untuk penambahbaikan cerita. Dan setiap komen ikhlas anda, amatlah saya hargai. Terdapat perubahan nama watak dalam bab 1 sebelum bab ini ditulis. Diharap tiada yang pening bila baca entry kali ini okey :) Maaf jika saya tak sempat nak balas satu satu komen. Inshaallah nanti ada masa saya akan balas. Dan untuk pengetahuan semua, cerita ini bukanlah secara keseluruhannya kisah saya. Mungkin latar belakang dan sedikit sahaja yang bersamaan dengan diri saya. Yang lain hanyalah rekaan dan imaginasi saya sahaja. Terima kasih sudi membaca dan sudi tinggalkan komen J

Wednesday, 3 January 2018

IZINKAN AKU (BAB 1)


Suasana dalam bilik kuliah hari ini agak hingar bingar. Tak tahu apa puncanya. Keadaan ini amat mengganggu konsentrasiku untuk mengulangkaji pelajaran subjek anatomi yang pensyarah ajarkan semalam. Sesekali terdengar sekumpulan pelajar perempuan dibelakangku sedang seronok bercerita. Cerita pasal apa tidak pula difahami. Terdengar sesekali mereka ketawa. Entah apa yang lucu pun tidak tahu, tetapi bunyi ketawa mereka itu, agak menggangu konsentrasiku saat ini.

“Aduhhh, mereka ini tak nampakkah aku sedang membuat ulangkaji. Mereka tak ada kerja lainkah hendak dibuat selain berbual sahaja!” desis hatiku.

Sebenarnya aku agak sedikit terlambat ke dewan kuliah hari ini kerana pagi ini aku terbangun lewat. Dan akibatnya, meja yang selalu aku duduki di dalam kelas telah diambil oleh orang lain. Kedudukan meja itu berada di barisan paling hadapan, agak selesa jika dibandingkan dengan meja yang aku duduki hari ini.Hampir barisan paling belakang. Itulah akibatnya kalau tidur lambat, jadi bangun tidur pun lambat. Seperti kebiasaannya aku akan memilih kedudukan meja di hadapan kerana mudah untuk mendengar suara pensyarah. Budak nerd la katakan. Sebenarnya meja itu juga telah aku conteng di bahagian tepi dengan nama  ‘siti zulaikha’ sebagai tanda kononnya meja itu sudah menjadi tempat tetap buat diriku setiap hari.

Siti Zulaikha binti Zulkifli. Ya, itu namaku. Seorang perempuan namun perwatakanku seperti lelaki. Aku, pelajar tahun pertama diploma kejururawatan Kolej polytech Mara kampus Kemumin, Kota Bharu Kelantan. Aku dibesarkan di sebuah rancangan Felda di Negeri Pahang. Selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), aku telah mengambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di sebuah sekolah terkemuka di Rompin. Memandangkan keputusan SPM aku hanya cukup cukup makan, jadi aku tidak melanjutkan pelajaran ke mana- mana institut pengajian tinggi. Dan kini aku disini, setalah habis STPM, aku menyambung pula pelajaran di peringkat diploma.

“Kring...kring…Kring…” lamunanku terhenti. 
Bunyi loceng panjang sebanyak tiga kali menandakan sudah bermulanya sesi pembelajaran. 
Ya, aku mesti fokus kerana kebiasaannya, setelah loceng ini berbunyi, tidak lama kemudian pasti pensyarah akan masuk ke kelas untuk mengajar.Aku memandang sekilas ke baju seragamku. Memeriksa penampilanku sebelum sesi pembelajaran bermula. Warna ungu, warna kegemaranku. Baju berwarna ungu dan tudung berwarna putih. Oh ya, tudung. Aku kurang setuju dengan itu. Sebenarnya aku dipaksa oleh Puan Fatimah, pensyarah yang mengajar subjek agama islam untuk bertudung. Katanya setiap pelajar beragama islam wajib bertudung disini. Tutup aurat katanya. Memang sejak pada awal kemasukan aku ke kolej ini, aku tidak bertudung. Dan hari ini aku telah dipaksa untuk bertudung. Bagiku, tudung itu hanya akan aku pakai setelah aku dewasa, mungkin sudah berumur lingkungan dua puluh lima tahun ke atas. Bukannya ketika ini. Dan aku sebenarnya rimas untuk bertudung kerana perlu memakan masa yang lama untuk membetulkan tudung. Dan hari ini aku dipaksa. Sungguh aku tak suka.Seketika kemudian, terlihat kelibat pensyarahku, Puan Aini masuk ke kelas untuk memulakan sesi pembelajaran. Melihat sahaja kelibat puan Aini, suasana yang hingar bingar tadi bertukar menjadi senyap.

 “Hahh, tahu pun takut!” desis hatiku sambil ketawa sendirian.


Setelah meletakkan buku dimeja, Puan Aini memberikan salam kepada kami semua. Seketika dia melontarkan pandangannya ke serata bilik kuliah, dan akhirnya pandangannya tertancap kepadaku, melihatku dengan pandangan yang agak pelik, agak lama juga. Pelik dengan kedudukan aku yang berubah dari kebiasaannya atau pelik melihat aku sudah memakai tudung. Namun selepas itu, Puan Aini menghadiahkan senyuman buatku. Melihatkan senyumannya, membuatkan aku merasa yakin bahawa pandangannya sebentar tadi adalah kerana perubahan cara pemakaianku. Hmm tak apalah, sekurang kurangnya, first impression yang Puan Aini berikan tidaklah seteruk yang aku sangka.

“Bertabahlah Zulaikha!” jerit hati kecilku. 

Semoga perubahan ini membawa kebaikan buat diriku. Nak buat macam mana, nak protes pun, tak boleh. Mahu aku dibuang kolej gamaknya. Nak taknak, terpaksa la aku membiasakan diri dengan perubahan penampilanku ini. Semoga aku positif dan menerima semua kritikan yang bakal aku terima setelah mereka tahu tentang perubahan diriku ini.

........................................................................

Setelah beberapa jam menghadiri kuliah, sesi pembelajaran pun tamat. Jam sudah menunjukkan pukul 2 petang. Syukur sahaja hari ini jadual kuliahku tidak begitu padat. Bukan seperti selalunya yang kadang kadang, sehingga pukul 5 petang.

“Kelas habis awal, dapatlah aku tidur selepas balik kuliah ni.” Fikirku.  


Kebetulan mataku sudah semakin memberat, menunggu masa untuk terlelap sahaja. 
Umpama orang mengantuk disorongkan bantal, aku bergegas keluar dari bilik kuliah dan berlari lari anak untuk pulang ke hostel. Tanpa aku sedari, aku telah terlanggar seseorang dan menyebabkan badan kami terdorong ke belakang dan hampir terjatuh.

“Errr.. Err… maaf.. maaf encik.. Saya tak sengaja.” Kataku spontan setelah melihat bukunya sudah berterabur di lantai. Apalah malangnya nasibku, sudahlah bangun lambat, terlanggar orang pulak.

“Eh, takpe takpe..” jawabnya ringkas.

Aku terpempan apabila melihat lelaki itu menoleh. Lemah rasa lututku, tetapi aku gagahkan juga untuk bangun dan memperbetulkan pakaianku.

“Syamil..?” hanya sepatah sahaja perkataan yang keluar dari mulutku.

“Oh ya.. Syamil. Errrr…Hmmmm…” kata katanya mati disitu

“Oh maaf, saya ada urusan dan saya perlu pergi sekarang.Maaf ye sekali lagi.” Balasku mengakhiri perbualan singkat antara kami. Saja aku mencipta alasan daripada berbual lama dengannya. Ya, aku malu. Terasa mukaku merona merah menahan malu.

Syamil Zahran, pelajar diploma pengurusan. Pertama kali aku berjumpa dengannya adalah ketika minggu orientasi, minggu pertama aku disini. Dia adalah ahli jawatankuasa yang terlibat dalam minggu orientasi tersebut. Syamil serta senior lain, telah menguruskan aktiviti kami, semua pelajar baru sepanjang minggu orientasi. Daripada aktiviti berkumpulan mahupun aktiviti sukan, merekalah yang menguruskan kami. Dan dalam diam, aku sudah jatuh hati padanya.



>>Nantikan sambungan kisah (Bab 2) di entry akan datang. Prolog diubah sedikit sebelum entry ini dibuat kerana mengikut kesesuaian cerita. Setiap komen yang membina adalah digalakkan. Feel free to comment pada penulisan saya yang baru nak belajar menulis nih J




Tuesday, 2 January 2018

IZINKAN AKU (PROLOG)

Assalamualaikum w.b.t.
Selamat pagi.
Cikyan nervous.. HAHA !
Percubaan pertama menulis cerita ala ala novel. 
 Bismillahirahmannirrahim....

.............................................................................................................

Langit gelap. Ditemani angin yang membelai pipi, lembut. Pepohon nyiur melambai rakus  ke kiri dan ke kanan, condong seakan mahu tumbang.Tidak seperti biasanya, malam ini sang rembulan seakan malu malu untuk menampakkan dirinya, cahayanya kelihatan suram. Kelam. Sesekali kutatap langit malam yang mendesak mendung, menandakan akan turunnya hujan.

Merenung butiran pepasir seakan mengutip kenangan lama yang semakin hari, semakin dilupakan. Samudera luas dipandang sepi. Kosong. Bagaikan tiada ombak yang memukul pantai. Bagai tiada burung burung yang berterbangan. Hakikatnya ombak tetap menari mengikut alunan, memukul pantai saban waktu. Dan burung burung tetap berkicau riang berterbangan pulang ke sarang. Mengutip memori lama seakan menambahkan sesak di dada. Seakan menambah garam keatas luka. Pedih dan perit. Ingin sekali dibuang segala kepahitan dan kesedihan ini di tengah samudera. Biar karam tanpa berita, biar hilang diterbang bayu malam yang semakin lama, semakin mesra menyentuh muka.

Sepi. Sesepi hatiku saat ini. Tanpa sedar air mataku sudah mengalir membasahi pipi. Ahhh, terlalu banyak kesakitan yang telah aku lalui. Rasa terlalu cepat semuanya berlalu. Sakit, pedih serta peritnya menghadapi sebuah kehilangan telah aku rasakan sebelum ini. Kehilangan insan insan yang paling aku cintai. Insan yang paling aku sayangi. Insan yang banyak berkongsi cerita jua masalah denganku. Mendengar kisah jatuh bangunku.  Rasa masih terlalu banyak yang ingin aku kongsikan bersama mereka. Mereka insan yang paling banyak berjasa dalam hidupku., sepanjang usiaku dua puluh lapan tahun.

“Tap..tap..tap”. Bunyi derapan kasut mematikan lamunanku seketika. Sesusuk tubuh lelaki berkaca mata berdiri disebelahku. Dia suamiku kini.Insan yang banyak memberikan aku kata semangat ketika aku melalui episod duka suatu ketika dulu. Mukanya ku tatap seketika. 

“Oh suamiku, betapa mulia hatimu ” desis hatiku.

“Sayangku Siti Zulaikha, okey tak ni? Dari tadi abang tengok asyik berangan aje ye. Sampai abang dah ada depan mata pun masih berangan lagi.’’ Usik suamiku seterusnya mematikan lamunanku.
Oh aku masih mengelamun rupanya. Lama aku mengelamun. Baru sebentar tadi sahaja rasanya suamiku meminta diri untuk ke tandas. Kini dia sudah berada di depan mata.

“ Sayang okey aje abang. Saje jela nak pandang muka suami sayang yang handsome ni lama lama.Mana tahu boleh mimpi abang malam nanti.”. Selorohku.

“ Pandailah sayang kan. Mesti ada sesuatu yang ingin disembunyikan daripada pengetahuan abang kan?” Balas suamiku sambil mencuit hidungku

“Mana ada.”Jawabku ringkas. Saja malas menjawab pertanyaan suamiku.

“Sekilas ikan di air, abang tahu jantan betinanya. Sampaikan yang pondan pun abang tahu tau.” Suamiku berseloroh. Aku ketawa mendengar jenakanya. Sempat lagi nak buat lawak waktu senja senja begini.

“Okey kalau begitu, cuba tunjukkan sayang yang mana satu jantan yang mana satu betina?” Kataku sambil menunding jari kearah lautan. Tiada ikan yang kelihatan pun sebenarnya. Saja aku ingin mengusiknya.

“ Pandai sayang kan, saje je kenakan abang balik. Hari dah gelap sayang, rupa ikan pun abang dah tak nampak, macam mana abang nak tunjukkan pada sayang.  Hmmm hari dah malam, jom kita balik. Kita solat.” Suamiku memberikan alasan dan seterusnya mengajak aku pulang.

“Jom abang.” Balasku sambil berjalan beriringan disebelahnya menuju ke hotel tempat penginapan kami selama seminggu berbulan madu disini. Bulan madu yang kedua, ditempat yang sama, namun suasana yang berbeza. Penuh perasaan kasih dan sayang. Dia suami yang kubenci suatu dulu.

Oh suamiku. Betapa kau terlalu sempurna dimataku kini.Betapa kau hadir tepat pada masanya. Menyapu airmata yang sentiasa hadir dimataku, lalu melenyapkan semua kenangan yang menyesakkan dadaku kini. Betapa aku tidak kuat jika terpaksa menanggung derita ini, berseorangan. Betapa semua kenangan yang cuba kugali sebentar tadi begitu menyesakkan dadaku. Tak tertanggung rasanya. Dan cukuplah hanya aku yang menahan rasa ini, sendiri. Sudah terlalu banyak yang kau lakukan untuk membuat aku bahagia. Ya, betapa aku bahagia kini. Semoga Tuhan izinkan aku untuk terus menikmati rasa bahagia ini, selamanya. Izinkan aku bersama dia, selamanya.

Mujur jodoh itu milik kita. Terima kasih Tuhan.


>>>>> Nantikan sambungan kisah (Bab 1) di entry akan datang. Sebarang komen yang membina adalah sangat dialu alukan. Terima kasih J

MENJADI PENULIS

Assalamualaikum.
Selamat pagi semuanya.
Haaa apa khabar harini?
Semoga semuanya baik baik sahaja.

Nampak tak tu tajuk cikyan tu...
Siapa nak jadi penulis tu? Siapakah lagi. Cikyan laaa.. 
Sebenarnya cikyan memang dari dulu suka menulis. Tulis la ape pun. Asalkan menulis. 
Bukan apa, rasa seronok bila dapat luahkan apa yang terbuku. Ohh ya, dulu semasa kecil, cikyan suka sangat tulis surat. 

Seawal umur 9 tahun cikyan dah start menulis surat berformat yang ada alamat kat atas tu. 
Lepas tu penerimanya adalah kakak cikyan sendiri. Almaklumlah kakak banyak. Kakak pulak jenis melayan kerenah adik adik. Dan sampai sekarang pun, cikyan masih simpan semua surat surat balasan kakak tu.Sayang nak buang. Ada surat yang dari tahun 1999. Sayangnya kan. Tak sangka rupanya cikyan memang aktif menulis. Bila baca balik semua surat tu, buat cikyan tersenyum sendiri. Macam macam yang ditulisnya. 

Oh ya, selain cikyan menulis surat untuk keluarga, dulu cikyan ada jugak menulis untuk diposkan kepada kawan kawan baru. Kawan baru tu mestilah dikenali melalui surat  khabar, majalah dan sebagainya. Ada salah seorang kawan cikyan yang memang cikyan ingat sampai sekarang. Namanya Aiman Azlan, iaitu vlogger terkenal. Dia jugak sudah menulis buku sekarang nih. Tapi sekarang dah tak contact sebab memang dah lama sangat tak menulis surat. Rasanya sebelum dia berangkat pergi ke luar negara untuk sambung belajar. Dulu banyak berkongsi tips belajar. Dia la yang banyak share tips sebab dia budak pandai. Cikyan suam suam kuku je. HAHAHA ! Tapi sekarang ni, agaknya, bila kenalkan diri depan dia, dia dah tak kenal agaknya. Adesss.

Cikyan ingat entry yang akan datang ni, tak tahu la bila, mungkin next entry atau next next entry, cikyan nak start menulis novel. Serius tak pernah ada pengalaman menulis, tapi suka sangat nak menulis. Agak agak kalau cikyan menulis, ada tak sesiapa yang sudi baca? Kalau dah baca jangan lupa tinggalkan komen ya. Best ke tak. Sesuai ke tak. Cikyan tak kisah sebenarnya kalau ada yang beri pandangan, sebab sedikit sebanyak boleh ubah gaya penulisan, sekaligus buat cikyan jadi lagi bersemangat nak menulis. Komen, kritikan... Itu perkara biasa kan. Sedar tak sedar, itulah yang menjadi makanan untuk kita berjaya.



Fuhh, panjang sungguh mukaddimah. Sebenarnya semalam cikyan dah draft sikit untuk novel cikyan. Novel la kununnya. Dah buat note kat word, dah conteng dalam buku. Selepas diubah ubah beberapa kali, maka terhasillah prolog cerita. Susah jugak ye nak menjadi penulis. Cuma satu je masalahnya, tajuknya tak ada. Aduii !

Sekian sahaja la celoteh untuk pagi ni. Cikyan nak menaip dulu prolog cerita tu bagi habis. 
Nanti kita jumpa lagi di lain entry. Bye!



Monday, 1 January 2018

NEW CHAPTER !

Assalamualaikum.

Selamat pagi nak ke tengahari. 
Okey baru ada masa terluang nak post entry. 
Tadi sempat update menang segmen bloglist tu jek. Lepas tu berkejar nak buat kerja dulu. Buat sebutharga, angkat call dan bla bla bla.. Sempat jugak tadi meratah rangka ayam yang beli malam tadi. Ahakkkss J

Disempatan ini, cikyan nak ucapkan selamat tahun baru buat semua. Semoga sempat lagi laa cikyan nak ucap sebab dah masuk hari kedua di tahun baru. Ahaakkkss ! 
Semoga apa yang bakal datang, adalah yang baik baik belaka. Bagi diri cikyan, tahun 2017 banyak mendatangkan kenangan buat cikyan. Yang paling besar adalah kenangan terpahit. Mana tak pahit, tahun 2017, 30 mac 2017, cikyan telah kehilangan orang yang paling cikyan sayang. Dialah nyawa bagi cikyan, malah segala galanya bagi cikyan.Tak lain tak bukan, emak cikyan. Hati mana tak sedih kan bila sekarang ni, kita dah takde emak. Dah takde tempat nak bercerita segala benda. Kita dah tak dapat rasa keberkatan doa seorang ibu. Allahurabbi…Pedihnya rasa kehilangan tu. Beruntungnya bagi sesiapa yang masih lagi mempunyai emak. Jaga la baik baik, hargai selagi ada. Pandang wajah dia, beritahu dia betapa kita sayangkan dia. Minta doa banyak banyak dari dia. Inshaallah berkat tu ada.

Tahun 2017 juga adalah tahun kenangan cikyan bekerja sebagai seorang jururawat dialisis. 
Actually cikyan bekerja sebagai jururawat dialysis pon adalah disebabkan emak cikyan. Emak penghidap penyakit buah pinggang kronik. 
Selama enam tahun dia jalani dialisis. Selama itulah, dia mengalami bermacam macam dugaan sebagai pesakit. Dan sempat la dua tahun terakhir, cikyan berkongsi cerita dengan emak, berkongsi info pasal dialisis. 
Emak pun selalu crita pasal kisah dia dialisis kat hospital, tentang jururawat yang baik hati, pasal orang tu, pasal orang nih. Pantang ada info baru, cikyan akan cepat cepat call emak, beritahu kat dia. Sama emak jugak, pantang ada berita terbaru, dia akan call cikyan. Lepas emak takde, rutin tu dah tak boleh diteruskan. 
Serius rasa kehilangan sangat. Hmmm..
Rasanya cukup sampai sini dulu pasal tahun baru sebab actually nak cerita, tahun yang lepas adalah tahun yang memberikan 1001 kenangan yang agak pahit. Tapi bila difikir balik, setiap ujian yang datang tu, adalah cara Allah untuk buat kita dekat dengan Dia semula. 
Dan paling penting, setiap apa yang jadi, pasti ada hikmah. Kan? 
Semoga tahun 2018 ini menjanjikan yang terbaik buat kita semua. Semoga menjadi insan yang lebih baik. Semoga sentiasa dihargai dan disayangi oleh semua orang. 
Semoga cikyan menjadi anak yang baik, kawan yang baik dan segala yang baik baik. 
Semoga cikyan dapat bertukar status tahun ini. Ecececehhhh !




SALAM KASIH DAN SAYANG DARI CIKYAN !



PEMENANG SEGMEN BLOGLIST CIKLA

Assalamualaikum.
Dah tiga hari tak buat entry,
cikyan rindu.
Duduk rumah, duk menghitung hari 
bila la nak masuk pejabat semula. HAHA

Okey, harini masuk je kerja,
terus bukak blog.
And taraaaa...
Cikyan tersenarai dalam segmen cikla.
Untuk segmen  bloglist dia tu.
Nih segmen dia buat haritu.

Seronoknya...
  
Klik gambar untuk tumbesaran

Ni lagi semangat nak menulis entry nih.
Thanks la cikla ye.

Bagi korang yang tak kenal lagi sape cikla,
boleh terus klik link dia okey.
Inshaallah dia okey sangat !


Thanks lagi sekali cikla.
Semoga ukhuwah sesama kita semakin erat.
Saya newbie kat sini,
so jangan lupa beri tunjuk ajar tau :)