Wednesday, 3 January 2018

IZINKAN AKU (BAB 1)


Suasana dalam bilik kuliah hari ini agak hingar bingar. Tak tahu apa puncanya. Keadaan ini amat mengganggu konsentrasiku untuk mengulangkaji pelajaran subjek anatomi yang pensyarah ajarkan semalam. Sesekali terdengar sekumpulan pelajar perempuan dibelakangku sedang seronok bercerita. Cerita pasal apa tidak pula difahami. Terdengar sesekali mereka ketawa. Entah apa yang lucu pun tidak tahu, tetapi bunyi ketawa mereka itu, agak menggangu konsentrasiku saat ini.

“Aduhhh, mereka ini tak nampakkah aku sedang membuat ulangkaji. Mereka tak ada kerja lainkah hendak dibuat selain berbual sahaja!” desis hatiku.

Sebenarnya aku agak sedikit terlambat ke dewan kuliah hari ini kerana pagi ini aku terbangun lewat. Dan akibatnya, meja yang selalu aku duduki di dalam kelas telah diambil oleh orang lain. Kedudukan meja itu berada di barisan paling hadapan, agak selesa jika dibandingkan dengan meja yang aku duduki hari ini.Hampir barisan paling belakang. Itulah akibatnya kalau tidur lambat, jadi bangun tidur pun lambat. Seperti kebiasaannya aku akan memilih kedudukan meja di hadapan kerana mudah untuk mendengar suara pensyarah. Budak nerd la katakan. Sebenarnya meja itu juga telah aku conteng di bahagian tepi dengan nama  ‘siti zulaikha’ sebagai tanda kononnya meja itu sudah menjadi tempat tetap buat diriku setiap hari.

Siti Zulaikha binti Zulkifli. Ya, itu namaku. Seorang perempuan namun perwatakanku seperti lelaki. Aku, pelajar tahun pertama diploma kejururawatan Kolej polytech Mara kampus Kemumin, Kota Bharu Kelantan. Aku dibesarkan di sebuah rancangan Felda di Negeri Pahang. Selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), aku telah mengambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di sebuah sekolah terkemuka di Rompin. Memandangkan keputusan SPM aku hanya cukup cukup makan, jadi aku tidak melanjutkan pelajaran ke mana- mana institut pengajian tinggi. Dan kini aku disini, setalah habis STPM, aku menyambung pula pelajaran di peringkat diploma.

“Kring...kring…Kring…” lamunanku terhenti. 
Bunyi loceng panjang sebanyak tiga kali menandakan sudah bermulanya sesi pembelajaran. 
Ya, aku mesti fokus kerana kebiasaannya, setelah loceng ini berbunyi, tidak lama kemudian pasti pensyarah akan masuk ke kelas untuk mengajar.Aku memandang sekilas ke baju seragamku. Memeriksa penampilanku sebelum sesi pembelajaran bermula. Warna ungu, warna kegemaranku. Baju berwarna ungu dan tudung berwarna putih. Oh ya, tudung. Aku kurang setuju dengan itu. Sebenarnya aku dipaksa oleh Puan Fatimah, pensyarah yang mengajar subjek agama islam untuk bertudung. Katanya setiap pelajar beragama islam wajib bertudung disini. Tutup aurat katanya. Memang sejak pada awal kemasukan aku ke kolej ini, aku tidak bertudung. Dan hari ini aku telah dipaksa untuk bertudung. Bagiku, tudung itu hanya akan aku pakai setelah aku dewasa, mungkin sudah berumur lingkungan dua puluh lima tahun ke atas. Bukannya ketika ini. Dan aku sebenarnya rimas untuk bertudung kerana perlu memakan masa yang lama untuk membetulkan tudung. Dan hari ini aku dipaksa. Sungguh aku tak suka.Seketika kemudian, terlihat kelibat pensyarahku, Puan Aini masuk ke kelas untuk memulakan sesi pembelajaran. Melihat sahaja kelibat puan Aini, suasana yang hingar bingar tadi bertukar menjadi senyap.

 “Hahh, tahu pun takut!” desis hatiku sambil ketawa sendirian.


Setelah meletakkan buku dimeja, Puan Aini memberikan salam kepada kami semua. Seketika dia melontarkan pandangannya ke serata bilik kuliah, dan akhirnya pandangannya tertancap kepadaku, melihatku dengan pandangan yang agak pelik, agak lama juga. Pelik dengan kedudukan aku yang berubah dari kebiasaannya atau pelik melihat aku sudah memakai tudung. Namun selepas itu, Puan Aini menghadiahkan senyuman buatku. Melihatkan senyumannya, membuatkan aku merasa yakin bahawa pandangannya sebentar tadi adalah kerana perubahan cara pemakaianku. Hmm tak apalah, sekurang kurangnya, first impression yang Puan Aini berikan tidaklah seteruk yang aku sangka.

“Bertabahlah Zulaikha!” jerit hati kecilku. 

Semoga perubahan ini membawa kebaikan buat diriku. Nak buat macam mana, nak protes pun, tak boleh. Mahu aku dibuang kolej gamaknya. Nak taknak, terpaksa la aku membiasakan diri dengan perubahan penampilanku ini. Semoga aku positif dan menerima semua kritikan yang bakal aku terima setelah mereka tahu tentang perubahan diriku ini.

........................................................................

Setelah beberapa jam menghadiri kuliah, sesi pembelajaran pun tamat. Jam sudah menunjukkan pukul 2 petang. Syukur sahaja hari ini jadual kuliahku tidak begitu padat. Bukan seperti selalunya yang kadang kadang, sehingga pukul 5 petang.

“Kelas habis awal, dapatlah aku tidur selepas balik kuliah ni.” Fikirku.  


Kebetulan mataku sudah semakin memberat, menunggu masa untuk terlelap sahaja. 
Umpama orang mengantuk disorongkan bantal, aku bergegas keluar dari bilik kuliah dan berlari lari anak untuk pulang ke hostel. Tanpa aku sedari, aku telah terlanggar seseorang dan menyebabkan badan kami terdorong ke belakang dan hampir terjatuh.

“Errr.. Err… maaf.. maaf encik.. Saya tak sengaja.” Kataku spontan setelah melihat bukunya sudah berterabur di lantai. Apalah malangnya nasibku, sudahlah bangun lambat, terlanggar orang pulak.

“Eh, takpe takpe..” jawabnya ringkas.

Aku terpempan apabila melihat lelaki itu menoleh. Lemah rasa lututku, tetapi aku gagahkan juga untuk bangun dan memperbetulkan pakaianku.

“Syamil..?” hanya sepatah sahaja perkataan yang keluar dari mulutku.

“Oh ya.. Syamil. Errrr…Hmmmm…” kata katanya mati disitu

“Oh maaf, saya ada urusan dan saya perlu pergi sekarang.Maaf ye sekali lagi.” Balasku mengakhiri perbualan singkat antara kami. Saja aku mencipta alasan daripada berbual lama dengannya. Ya, aku malu. Terasa mukaku merona merah menahan malu.

Syamil Zahran, pelajar diploma pengurusan. Pertama kali aku berjumpa dengannya adalah ketika minggu orientasi, minggu pertama aku disini. Dia adalah ahli jawatankuasa yang terlibat dalam minggu orientasi tersebut. Syamil serta senior lain, telah menguruskan aktiviti kami, semua pelajar baru sepanjang minggu orientasi. Daripada aktiviti berkumpulan mahupun aktiviti sukan, merekalah yang menguruskan kami. Dan dalam diam, aku sudah jatuh hati padanya.



>>Nantikan sambungan kisah (Bab 2) di entry akan datang. Prolog diubah sedikit sebelum entry ini dibuat kerana mengikut kesesuaian cerita. Setiap komen yang membina adalah digalakkan. Feel free to comment pada penulisan saya yang baru nak belajar menulis nih J




10 comments:

  1. Best..cuma kalau boleh adjst artikel guna justify..tu je..jalan cerita best nk tgu part 2

    ReplyDelete
  2. Wah! we share the same passion,hehe Hana pun tengah mengarang manuskrip... btw good luck ye! ^^ Thumbs up <3

    ReplyDelete
  3. Wahhh... novel cinta romantik kak. Hihi. Best cite ni kak. GV siap imagine versi live action jalan cerita ni kak. :)

    ReplyDelete
  4. semoga awak menjadi penulis yg berjaya ... wah, ingatkan review drama td, rupanya manuskrip novel ... insyallah nak ikut jalan cerita sampai habis ...

    ReplyDelete
  5. wahh bestnyer...sy pun ada menulis di wattpad tapi dh lama bisu sbb kekangan masa dan tekanan perasaan..haha..
    anyway good luck dan tak sabar nak baca seterusnya

    ReplyDelete
  6. Wah :) Hee. Cikyan dah mulakan, cikyan kena habiskan ya hee.

    ReplyDelete
  7. Teringat pulak zaman muda mudi kat U dulu..huhu

    ReplyDelete
  8. Menarik jalan cerita ni. Nanti nak sambung baca..

    ReplyDelete