Saturday 14 April 2018

Hilang

Diam tak diam, rupanya dah setahun lebih 
arwah emak meninggalkan kami semua. 
Cepat sangat masa berlalu. Rasa macam baru 
semalam berborak dengan emak.

Bermakna, sudah setahun lebih tak dapat peluk cium emak,
 tak dapat doa dari seorang emak. 
Tak dapat berborak dengan emak.

Setahun lebih yang lepas, masanya petang kalau tak silap, 
masa tu saya tengah bercuti kat kampung, 
ada terbaca kat facebook pasal pemergian 
seorang imam muda kat kampung. 
Sebelum tu ada juga terdengar 
pengumuman speaker masjid pasal berita ni. 
Dalam hati saya, saya berkata, ya Allah, 
orang baik pun Allah ambil cepat, lagi orang yang tak baik kan. 
Agak agak macam mana ya kalau kita yang Allah ambil, 
tanpa persediaan apa apa, entah bila. 
Bagaimana la cerita kita pula nanti.

Dalam hati, sesambil bermuhasabah, 
turut berdoa juga semoga Allah panjangkan doa emak saya 
( yang ketika itu masih hidup dan sedang menjalani 
rawatan dialisis - tahun ke enam) dan juga 
orang orang yang saya sayang. 
Terfikir juga macam mana la rasa, 
kalau Allah ambil mereka dari saya. Allahu rabbi.

Tiga hari selepas tu, masa saya bekerja di sepang, dapat berita, 
emak dah nazak. Masa tu memang emak dah dekat hospital. 
Sebab dah sehari admit ward. Sebelum tu memang dah niat nak balik, 
tapi bila tahu keadaan emak dah beransur pulih, 
saya batalkan niat sebab baru je balik. 
Ingat nak balik hujung minggu tu.
Masa dapat berita emak tengah nazak tu, adik kata, abah minta semua orang balik. Sebab takut tak sempat jumpa. 
Masa tu dalam pukul 4:30 petang. Allah, lemah lutut rasanya. 
Saya bergegas minta kebenaran untuk balik kampung.

Dalam pada nak menunggu kakak saya nak ambil untuk balik sama sama, 
pukul 4:45 petang dapat berita, emak dah tak ada. 
Allahurabbi, masa tu nak gugur jantung rasanya. 
Rasa macam gelap dunia. Ya Allah, syurga saya dah tak ada, sahabat hati belahan jiwa saya dah tak ada. 
Terduduk sekejap.

Sesampai kat kampung, rasa macam tak sangka je, 
sekujur tubuh emak terbaring kaku. 
Baru dua tiga hari lepas tengok muka emak, tengok senyum emak. 
Tapi hari itu, hanya mampu tengok jasad emak yang sudah tidak bernyawa. Allahurabbi.

Alhamdulillah, Allah beri kesempatan untuk saya dan adik beradik lain teman emak, menyantuni jenazah emak di saat saat akhirnya di dunia. 
Bukan mudah rasanya nak terima kehilangan seperti ini, 
lagi lagi apabila melibatkan orang yang kita sayang, 
orang yang banyak berkorban masa, jiwa, 
perasaan dan segala galanya dengan kita. 
Dalam terpaksa, saya relakan jua.

Semoga damai emak disana,
Berehatlah dengan tenang.
Semoga syurga buatmu wahai permaisuri hatiku.

Jangan risau, nanti bila Allah tanya tentang emak, yan akan beritahu, emak adalah anugerah terindah yang paling baik dalam hidup yan. Segala jasa dan pengorbanan emak dalam mendidik dan membesarkan yan, akan tetap akan dikenang sampai bila bila.

Al fatihah~
Allahyarhamah Rahimah binti Maail
30 Mac 2017
4:45 petang

* Nukilan ini bukan untuk menunjukkan betapa seorang aku sedih,
 tak redha, tapi untuk beritahu sesuatu iaitu 
' selagi mereka (ibu bapa) masih ada, 
santunilah mereka sehabis baik.
 Jaga makan pakai, jaga kebajikan mereka. 
Mereka ini harta yang paling bernilai yang kita ada kat dunia ni. 
Ibu dan ayah tak boleh ditukar ganti. 
Takkan sama dengan yang lain. Ya takkan sama. 
Selagi mereka masih ada, balik la jenguklah mereka. 
Buat yang terbaik, jangan pernah sekali pun abaikan mereka. 
Mereka syurga kita. Minta restu, minta doa mereka sentiasa. 
Sebab bila mereka dah tak ada, 
kita dah tak berkesempatan nak buat benda tu semua.

#airmata